Kalau nak masak daging, masih ada yang suka masukkan ubat paracetamol ke dalam masakan untuk empukkan daging lembu.
Hakikatnya cara ini sangat bahaya dan mendatangkan kesan yang kurang elok. Ini dilihat dalam satu video TikTok yang tular baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi 13 saat itu, wanita berkenaan dilihat memasukkan sebiji tablet paracetamol ke dalam kuali berisi daging yang sedang dimasak.
Video tersebut menerima lebih 7 juta tontonan telah mengundang perhatian pengamal perubatan yang memberi amaran agar orang ramai tidak meniru petua itu.
Ini mendapat perhatian pengamal perubatan, yang juga pengguna TikTok, Dr Ayman Alatas.
Ujarnya, zat beracun akan memberi kesan jangka panjang yang berbahaya untuk tubuh badan apabila paracetamol menjadi toksik apabila terkena haba masakan.
“Apabila masakan dipanaskan, akan berlakunya proses-proses tertentu yang membuatkan paracetamol menghasilkan toksik atau bahan beracun.
“Zat beracun akan memberi kesan jangka panjang yang berbahaya untuk tubuh. Justeru, orang ramai dinasihat jangan menggunakan paracetamol dalam masakan. Apatah lagi jika kebiasaan ini dilakukan selama bertahun-tahun,” katanya.
Ayman turut menyarankan agar orang ramai menggunakan alternatif lain iaitu bahan semula jadi untuk melembutkan daging seperti nanas.
Walaupun paracetamol benar boleh melembutkan daging, awas jangan cuba ya!
Sebenarnya banyak lagi cara lain anda boleh gunakan untuk melembutkan daging. Antaranya seperti berikut:
Terdapat beberapa jenis buah-buahan yang mengandungi kandungan enzim, yang boleh membantu melembutkan daging. Antaranya ialah seperti buah pir, betik, kiwi dan juga nanas.
Caranya, kisar buah-buahan ini untuk dijadikan puri terlebih dahulu.
Kemudian, tambahkan sedikit bahan perapan bersama puri buah sebelum digaul bersama daging.
Jika anda menggunakan buah nanas, pastikan ia tidak diperap terlalu lama.
Ini kerana kandungan bromelain dalam nanas boleh menyebabkan daging anda menjadi terlalu lembik.
Asid boleh membantu memecahkan atau melembutkan daging yang keras.
Merendam daging dalam perapan yang dibuat dengan jus lemon, limau, cuka, susu mentega atau yogurt boleh membantu melembutkan protein yang liat pada daging.
Namun, jangan sesekali membiarkan daging terendam dalam perapan terlalu lama, kerana asid boleh melemahkan struktur protein daging terlalu banyak.
Ini boleh menyebabkannya menjadi terlalu lembut dan lembik. Rendam dalam perapan selama 30 minit hingga dua jam sahaja.
Menumbuk daging dengan menggunakan penukul khas adalah cara yang sangat berkesan untuk melembutkannya.
Namun, jika ditumbuk dengan terlalu kuat atau lama, daging boleh menjadi terlalu hancur dan lembik.
Anda boleh menggunakan penukul khas yang mempunyai berpuluh-puluh jarum tajam atau mata yang menusuk daging dengan cara yang lebih lembut.
Ini boleh membantu mengurangkan kerosakan pada serat daging.
Sumber: TikTok anggiiewijayanti, aymanalts