Penyanyi dan komposer, Harry Khalifah menimang bayi lelaki selepas isterinya Noormala selamat bersalin secara normal di sebuah pusat perubatan di Rawang, Selangor.
Menerusi laporan mStar Online, komposer berusia 43 tahun itu berkata, dia tetap sebak mengenang pengorbanan isterinya walaupun ini adalah anak kesembilan mereka.
“Masa dia selamat bersalin, saya menangis rasa terharu campur gembira.
“Saya memang teman isteri di dewan bersalin walaupun ini anak kesembilan, sebab saya sudah berjanji dengannya untuk sentiasa bersamanya,” katanya.
Hari ini ramai yang rasa takut untuk mempunyai anak yang ramai. Katanya semakin ramai anak semakin susah kehidupan, maklumlah harga barang dan yuran semua makin meningkat.
Namun berbeza dengan pandangan Harry tentang jumlah anak ramai, dia menyifatkan kehadiran anak-anak adalah rezeki dan tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata kesepuluh pada masa akan datang.
Harry berkata, anak-anak akan memudahkan urusannya dan isteri di hari tua nanti dan tidak kisah sekiranya dipandang serong oleh kerana memiliki zuriat yang ramai.
“Saya tidak menolak rezeki sekiranya ada lagi selepas ini. Kalau andai kata diberi rezeki lagi saya terima. Saya juga tidak pernah malu memiliki anak ramai. Biarlah orang nak kata apa pun.
“Bagi saya anak ramai ini akan memudahkan urusan saya pada masa akan datang, mereka akan mengangkat jenazah saya apabila saya telah tiada nanti,”
ujarnya.Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 12 Ogos 2004 dan dikurniakan dua anak perempuan dan enam anak lelaki termasuk penyanyi remaja iaitu Chombi yang popular dengan lagu Sayunk I Love You.