Nak cantik dan putih gebu, masih ramai kaum wanita cenderung terpengaruh membeli produk yang kononnya mampu memberikan kesan positif dalam jangka masa yang singkat.
Dan akhirnya, ada yang terkejut dengan hasilnya membuatkan rupa paras berubah jadi gelap dan mungkin kemerahan disebabkan mengandungi bahan terlarang.
Begitulah yang dilalui oleh seorang wanita yang menggunakan akaun TikTok @nurnnyas, dia berkongsi kesan yang ditanggung ketika ini akibat pemakaian produk yang mengandungi merkuri.
Jelas wanita berkenaan, kulit wajahnya berubah menjadi kehitam-hitaman seperti kesan terbakar selepas setahun menggunakan krim produk berkenaan.
“Saya fikir pada mulanya kerana sinaran matahari sebab saya bekerja di lapangan (luar). Tapi lama-lama pun kesannya tidak hilang. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti.
“Tapi bila berhenti, makin teruk. Saya kebingungan dan ambil langkah untuk biarkan saja. Tiga tahun kebelakangan ini, kesannya memburuk,” katanya menerusi video berkenaan.
Wanita tersebut berkata, dia kemudian mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik kulit.
“Seorang doktor mendiagnosis kulit saya dan menurutnya selain kerana kesan merkuri, masalah tersebut juga berpunca akibat kesan terkena sinaran matahari secara terus ke kulit,” katanya lagi.
Masih di dalam tempoh rawatan, wanita berkenaan berkata perkongsian yang dibuat di TikTok bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan produk wajah terutama yang mengandungi bahan seperti merkuri.
Jadi macam mana caranya untuk mengenal pasti sama ada sesuatu produk mengandungi merkuri?
Menerusi portal Hellodoktor ini beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk tersebut selamat dan tidak mengandungi merkuri:
1) Cuba sapukan krim tersebut pada tangan dan gosokkan barang kemas yang diperbuat daripada emas. Jika krim tersebut bertukar warna kepada kelabu atau kehitam-hitaman, ia mengandungi merkuri.
2) Periksa label di belakang produk. Jika ada perkataan mercurous chloride, calomel, mercuric, mercurio atau mercury, anda perlu berhenti menggunakan produk tersebut secepat mungkin.
3) Krim yang mengandungi merkuri mempunyai bau yang kuat dan menusuk hidung.
Ibu yang mengandung dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi merkuri.
Kesannya bukan sahaja akan menimpa si ibu, malah juga boleh membawa masalah kepada bayi dalam kandungan.
Selepas ini, anda wajib memeriksa jenama produk yang mengandungi merkuri melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).