Selalu melihat penampilan Sharifah Amani yang sederhana serta polos tanpa solekan, walaupun berusia 38 tahun tetapi Sharifah Amani kelihatan cantik semula jadi.
Mempunyai wajah tak dimakan usia, satu kelebihan pelakon filem ‘Sepet’ dan ‘Gubra’ ini sehingga dilihat agak comel walau pun dikhabarkan berita gembira bakal jadi ibu.
Hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Ahmed Faris, pelakon Sharifah Amani berkongsi berita gembira dirinya yang kini berbadan dua.
Namun, Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 38, hanya meninggalkan kapsyen ringkas tanpa mendedahkan butiran lanjut termasuk usia kandungannya ketika ini.
“Syukur, Alhamdulillah,” kongsinya menerusi hantaran video dalam Instagram.
Pada masa sama, dia hanya berkongsi beberapa foto yang kelihatan kandungannya seakan-akan sudah menjangkau beberapa bulan.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat pelbagai reaksi gembira dan terharu sebaik dia mengumumkan berita gembira itu dengan keluarga serta rakan selebriti.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan memuji tindakan pelakon filem Sepet itu kerana bijak merahsiakan kehamilan dan hanya berkongsi pada waktu yang sesuai.
“Wah tahniah, daripada kecil tengok Amani berlakon, sekarang bakal jadi ibu, moga dipermudahkan segalanya. Pandai simpan rahsia, nampak macam sudah sarat,” komen netizen itu.
“Mesti comel bayi kalian nanti, baguslah umumkan selepas perut dah besar, kagum betul dengan Sharifah Amani. Dia tidak kalut dalam semua benda,” demikian komen seorang lagi netizen.
Untuk rekod, pasangan ini bertemu buat pertama kalinya pada tiga tahun lalu iaitu ketika Sharifah Amani bertugas selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah sebuah organisasi yang diketuai Ahmed Faris.
Pada pertemuan itu mereka bekerja atas dasar profesional. Belum ada rasa cinta. Dipendekkan cerita, selepas Covid-19 masing-masing berstatus solo. Akhirnya cinta bertandang tanpa diduga sehinggalah mereka bertemu jodoh bersama dan mendirikan rumah tangga pada 10 September 2022.
Pasangan ini disatukan di sebuah lokasi di Kuala Lumpur secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga serta teman rapat.