Manis berlesung pipit di pipinya, pelakon Sari Yanti menyambut ulang tahun ke-39 pada 9 November lalu bersama keluarga tersayang.
Dikurniakan suami yang penyayang dan menghargai, pelakon wanita ini bertuah kerana menerima ucapan diselit doa yang istimewa daripada pasangan hidupnya, Jep Sepahtu.
Bila digali tentang rahsia kecantikannya, Sari pernah berkongsi menerusi Eh! yang mana dia dengan hanya akan minum air 40 minit selepas makan.
“Saya tak makan sayur, sebaliknya saya lebih suka makan buah-buahan. Dari situlah saya dapat banyak khasiat. Biasanya untuk sarapan saya akan makan anggur, kiwi dan ada kalanya saya campurkan dalam bijirin. Jika bekerja awal pagi dan nak cepat, saya akan gantikan dengan mangga dan pisang.
“Saya pula jenis orang yang kurang minum air, jadi buah-buahan elok dijadikan sebagai ganti untuk sumber air. Biasanya petang saya akan lebihkan makan tembikai. Makanan pilihan saya ialah buah-buahan, kacang dan coklat,” kongsinya.
Menerusi siaran segmen pagi Sinar FM, pelawak dan penyampai radio itu memuji Sari yang disifatkan sebagai seorang yang sangat menyenangkan dan turut menitip doa kesejahteraan buat wanita disayanginya.
“Memang tak terbalas jasanya, saya rasa saya orang yang beruntunglah dapat isteri yang saya rasa sangat menyenangkan.
“Banyak sabar. Banyak bersabar pun tidak juga sebab saya tidak ada buat hal.
“Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memberi ucapan dan doa sekali.
“Saya doakan mudah-mudahan dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusannya, dikurniakan kesihatan yang baik.
“Mudah-mudahan dia dilimpahkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat bersama saya dan anak-anak,” tutur Jep atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin.
Tidak hanya rasa bertuah memiliki pasangan hidup saling melengkapi, pelawak berusia 38 tahun itu juga menzahirkan kesyukuran.
“Saya sangat bersyukur, sangat terhutang budi dengan layanan yang diberi selama kami berumah tangga. Dia menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.
“Saya doakan mudah-mudahan apa saja yang dihajatkan, diimpikan akan terlaksana dan termakbul. Mudah-mudahan dia sentiasa berada dalam reda dan juga dalam rahmat ALLAH, aamiin,” ujar Jep.
Jep turut berseloroh tentang Sari yang banyak membantunya menguasai Bahasa Inggeris.
“Kalau nampak dari segi karakter macam saya yang dominan. Tetapi sebenarnya saya banyak belajar daripada dia. Ketenangan, kesabarannya dan Bahasa Inggeris.
“Dahulu saya hanya tahu asas sahaja. Sekarang apabila dengannya saya belajar tentang past tense dan present tense,” katanya.
Sekadar info, Jep dan Sari Yanti melangsungkan perkahwinan di Dewan Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya pada 25 Februari 2017 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 5, Muhammad Khidir, 3, dan Abu Bakr, 2.
Sari memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya iaitu Barr Al-Aliy, 13, dan Baasit Al-Haq, 12.
Sumber: TikTok SinarFM
Kredit gambar: Sari Yanti