Manis berlesung pipit, model tudung dan pelakon, Qasrina Abdul Karim ini mempunyai daya tarikan tersendiri dalam usian 27 tahun.
Pernah dikatakan mirip pelakon Mira Filzah dan penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kerjaya Qasrina sebagai model Muslimah mula berkembang ke bidang lakonan.
Berasal dari Subang Jaya, Qasrina sebenarnya mempunyai segulung ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia.
Menurut Qasrina, antara rahsia yang diamalkan untuk mengekalkan keserian wajahnya ialah membasuh muka sekurang-kurangnya selama satu minit untuk memastikan wajahnya menyerap segala segala fungsi pencuci muka yang digunakan.
“Saya selalunya akan mengambil masa selama satu minit untuk mencuci muka kerana ia merupakan sebuah proses yang penting dan tidak harus diabaikan,” kongsinya lagi.
Bintang kelahiran Subang Jaya ini juga turut menyatakan bahawa dia selalu mengamalkan pengambilan dua liter air setiap hari. Qasrina juga hanya minum susu jenis oat dan juga kacang badam untuk memastikan wajahnya bebas dari masalah jerawat.
Jadi tak pelik lah jika kulitnya nampak sihat dan bersih daripada sebarang cela, bukan?