Sopan dan nampak manis dengan berhijab, penyanyi Nana Sheme mendedahkan tidak lagi berdepan serangan keresahan atau penyakit anxiety selepas disatukan dengan suaminya, Zikri Zakaria.
Pernah bergantung dengan ubat di bawah pemantauan doktor sejak berusia 12 tahun bagi menenangkan diri, Nana Sheme atau nama penuhnya Nur Nabilah Hashimi itu bersyukur apabila tidak lagi memerlukan pil atau berjumpa pakar bermula pada 2019.
Menerusi portal Kosmo!, penyanyi berusia 28 tahun itu berkongsi, “Saya pernah mengalami masalah anxiety sejak awal belasan tahun yang memerlukan saya mengambil pil sehingga keadaan kesihatan saya disahkan pulih sekitar empat tahun lalu.
“Perkara ini pernah saya kongsikan ketika awal kemunculan dulu yang asalnya berpunca daripada trauma ketika kecil berikutan perpisahan orang tua saya disusuli pemergian ibu pada usia saya 15 tahun.
“Alhamdulillah, selepas bertemu suami saya, Zikri Zakaria empat tahun lalu yang menjadi tempat saya berkongsi semua cerita dan tempat mengadu, emosi saya semakin stabil dan kembali tenang.
“Berbeza dengan dulu, hal kecil yang sebenarnya tiada isu pun boleh mengganggu fikiran, tapi sekarang segala kebimbangan dapat saya atasi tanpa perlu ubat-ubatan,” katanya.
Sebelum ini, penyanyi yang pernah menjadi sensasi YouTube dan dikenali menerusi lagu Hantu atau Buaya pada 2014 itu pernah berkongsi situasinya berjumpa pakar psikiatri berikutan trauma dialami sejak remaja.
Melihat gaya penampilannya menerusi perkongsian kaman Instagram, Nana Sheme cukup rajin buat rawatan kulit wajahnya dan bersenam.
Jadi tidak pelik jika wajahnya tampak gebu dan mulus walau sesekali bergambar tanpa solekan. Memang cantik, orangnya!
Kata anak jati Bumi Kenyalang itu, sepanjang tempoh tiada karya baharu ada pihak menyangka dia sudah bersara, sedangkan hakikatnya menyanyi tetap nombor satu.
“Saya masih buat persembahan pentas, cuma mungkin kurang aktif dalam media sosial walaupun menyedari kepentingan medium ini sebagai gelanggang promosi.
“Sejujurnya sikap introvert menyebabkan saya jarang berkongsi aktiviti harian seperti penggiat seni lain malah selepas single Ragu-Ragu empat tahun lalu, kerjaya saya agak perlahan.
“Sekarang saya baru berjinak-jinak dengan TikTok sekaligus berharap penghasilan single terbaharu ini membolehkan saya terus aktif mendekati peminat,” ujarnya.
Mengenai Aku Mencoba, lagu yang digarap sendiri bersama suaminya, Zikri Zakaria yang berkisar perjuangan hidup melambangkan kematangan dirinya berbanding kemunculan perdana hampir sedekad lalu.
“Lagu ini dilhamkan realiti yang dilalui setiap insan termasuk saya sendiri yang menjalani pelbagai rintangan dalam kehidupan, namun memilih untuk terus berjuang dan tidak berputus asa.
“Jujurnya selepas sebulan saya dan suami berkahwin pada Oktober 2022, kami diuji dari segi kewangan, dan emosi sampaikan saya pernah terkasar membuatkan saya muhasabah diri,” katanya.
Terdahulu, lagu Hantu atau Buaya melonjakkan nama penyanyi itu sehingga berada antara 10 lagu teratas dalam Carta Red Box Karaoke pada 2015.
Nana mendirikan rumahtangga dengan penerbit muzik, Zikri Zakaria pada 22 Oktober tahun lalu selepas berkenalan ketika menyertai program Big Stage musim tiga.
Kredit gambar: Nana Sheme