Apabila masuk 30-an, golongan wanita kena usaha keras untuk menjaga kecantikan kulit agar tidak tua sebelum waktunya.
Tidak dinafikan ramai wanita sudah kurang menjaga penampilan dan kulit kerana sibuk dengan kerjaya dan juga keluarga.
Namun harus diingat, tindakan anda itu akan menjadikan anda menyesal di kemudian hari. Mungkin anda akan terlihat lebih tua dari usia jika tidak bertindak dengan lebih awal.
Nak pergi lebih jauh soal penjagaan penampilan dan wajah, jom baca perkongsian Juara Pencarian Nona Manis, Naseha Uyaina Arshad agar kulit nampak sentiasa sihat.
Saya tidak perlu bersusah-payah untuk memiliki kulit anjal dan gebu memandangkan usia masih muda remaja. Sebenarnya tidak juga sebab kulit saya sering berdepan dengan masalah jerawat.
Apabila mengendalikan rancangan, bermekap itu wajib bagi saya. Jadi, kulit saya perlu dibiasakan dengan penggunaan mekap saban hari. Walau gebu dan cerah, namun saya perlu menjaganya sejak usia muda.
Saya memiliki kulit sensitif maka penjagaannya juga memerlukan kesungguhan. Saya lebih suka menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk memelihara kesihatan kulit saya. Kalau boleh buat sendiri, saya buat misalnya pupur muka yang dihasilkan daripada madu. Produk cantik yang digunakan perlulah sesuai dengan jenis kulit saya dan masalah kulit yang mahu diatasi.
Selain itu, saya amalkan pengambilan jus tomato yang dikisar bersama buah-buahan seperti epal atau sayuran seperti lobak. Petua ini saya dapat daripada kakak saya, Umairah. Kulit dia memang cantik, macam kulit bayi.
Kini saya amalkan pengambilan jus ini sekurang-kurangnya empat kali seminggu. Saya minum jus tomato sebelum ke tempat kerja. Ia bagus untuk detoks sekali gus mencantikkan kulit kita.
Bagi memastikan kulit pada tahap terbaik, saya sentiasa pastikan solekan dibersihkan sebelum masuk tidur. Penat macam mana sekalipun, utin membersihkan sisa solekan perlu dilakukan.
Memandangkan kulit saya jenis bermasalah maka saya perlu menggunakan makeup remover daripada jenis berminyak kerana ia cukup efisien untuk menanggalkan solekan, kemudian barulah saya cuci muka menggunakan facial foam, lalu dioleskan dengan penyegar dan pelembap. Selain itu, saya tidak pernah lupa menyapukan krim tabir suria sebelum keluar rumah.
Walau berhijab, rambut tetap saya jaga biar berbau harum dan terurus. Saya cuci rambut selang dua hari sekali, itu pun paling lama ya!
Saya juga amalkan mencuci rambut pada waktu petang atau malam (sekitar jam 6.00 petang dan ke atas). Ini kerana jika saya cuci pada waktu tengah hari misalnya, rambut saya jadi kering dan mengerbang.
Saya tak sukalah! Saya juga elakkan menyikat rambut ketika mahu mengeringkannya kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kutikel pecah seterusnya membuat rambut rosak.
Saya turut menyapukan minyak Argan tulen pada helaian rambut bagi memastikan kelembapan dapat dikekalkan. Jika ada masa, saya buat sendiri masker rambut daripada campuran mayonis dan madu sementelah saya bukan jenis yang pergi ke salun.
Masuk 30-an, cantik itu seharusnya iaitu luaran dan dalaman. Definisi cantik yang kita faham adalah cantik luaran yang dapat dilihat dengan mata kasar. Dan cantik merangkumi ciri dalaman misalnya cara kita bercakap dengan orang dan bagaimana kita membawa diri.
Sumber: myinfomaya