Sesekali anda kena ambil peduli tentang cara nak hilangkan daki sebab daki adalah kotoran yang sudah menimbun dan bercampur dengan peluh. Kulit yang berdaki biasanya akan berwarna kehitaman dan nampak kusam.
Antara bahagian kulit yang berdaki biasanya terdapat pada lipatan ketiak, lutut, lipatan paha dalam dan leher.
Daki sememangnya tidak akan hilang dengan mudah meskipun anda kerap mandi. Daki membuatkan kulit anda menjadi gelap dan kusam.
Apalah gunanya jika wajah bersolek kemas andainya leher dan tengkuk tampak berkarat dengan daki serta garis gelap.
Cara Hilangkan Daki
Berikut beberapa cara untuk menghilangkan daki yang boleh anda praktikkan:
1. Serbuk kopi
Bagi anda yang menggemari kopi, boleh ambil sedikit serbuk kopi anda untuk menghilangkan daki yang melekat pada tubuh. Serbuk kopi boleh dijadikan sebagai skrub. Ambil beberapa sudu serbuk kopi dan gosoklah pada kulit yang berdaki.
2. Minyak zaitun
Minyak zaitun juga bermanfaat untuk mengatasi daki yang melekat. Cara membuatnya juga sangat mudah, ambil sedikit minyak zaitun dan campurkan dengan segenggam beras yang sudah disangai dan telah ditumbuk halus. Anda boleh juga meletakkan beberapa titik perahan limau nipis atau lemon. Setelah itu, sapukan pada bahagian kulit yang berdaki.
3. Limau nipis
Rasa masam yang pekat pada limau nipis boleh dijadikan senjata berkesan untuk menghilangkan daki. Belah buah limau nipis menjadi dua bahagian, kemudian disapu dan digosok pada bahagian kulit yang berdaki. Pastikan tidak ada sebarang luka pada kulit kerana rasanya sangat pedih apabila terkena perahan air limau nipis tersebut.
Jika berkemampuan, dapatkan rawatan di spa atau pusat kecantikan tetapi kalau anda nak jimat boleh amalkan tips hilangkan daki ini dengan cara di atas. Mudah!