Walaupun masih dalam Kawalan Perintah Pergerakan (PKP) tetapi tidak menjadi penghalang untuk kedua-dua pasangan selebriti ini mendirikan rumahtangga.
Bagi pelakon popular Remy Ishak hanya dengan sekali lafaz, sah bergelar suami kepada Ezza Yusof, 38, kira kira jam 1.32 petang tadi di Masjid Negara.
Pasangan ini diijabkabulkan abang pengantin perempuan sendiri iaitu Rozman Yusof. Dalam majlis ini Ezza atau nama sebenar Roszaliza Yusof turut menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
Majlis berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Sesi pernikahan ini hanya dihadiri oleh pasangan mempelai dan wali kepada pengantin perempuan (Rozman).
Menurut Remy atau nama penuhnya, Mohammad Zalimei Ishak, dia memanjatkan kesyukuran kerana sesi pernikahan ini dapat berjalan dengan lancar walaupun tertunda beberapa kali disebabkan negara masih dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.
Untuk majlis pernikahannya, Remy dan isteri mengenakan busana pengantin hasil rekaan Mirul Jonit, selain ditatarias cantik jurusolek Chomel dan Adik Wan. Pasangan pengantin turut menggunakan khidmat penata gaya, Tym Fatimah.
Sementara itu bagi pelakon berbakat Elisya Sandha juga turut mengakhiri zaman gadisnya dengan anak kepada Sheila Rusly dan Jinggo setelah beberapa bulan mengikat tali pertunangan.
Perkenalan antara Elisya Sandha, 21, dan Uzair Haqimy, 25 sejak lima tahun lalu ketika masing masing masih di bangku sekolah akhirnya mekar hingga jenjang pelamin hari ini.
Pasangan berkenaan bernikah kira kira jam 3.11 petang tadi di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah.
Pada majlis ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu, Elisya atau nama penuhnya, Nur Elisya Hassan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.
Adik kepada Fasha Sandha itu ketika dihubungi berkata, majlis asalnya dirancang pada 22 Februari 2022.
“Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.
“Dengan situasi pandemik COVID-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan.
“Termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu. Insya-Allah kalau tiada aral, kami merancang untuk mengadakan majlis keraian di kampung halaman saya di Perlis. Cuma tarikhnya belum tahu lagi,” kata pelakon drama Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu.
Elisya yang anggun mengenakan persalinan daripada Teh Firdaus dan ditatarias Datuk Alha Alfa turut memaklumkan yang dia menerima wang hantaran berjumlah RM22,222.22.
Elisya yang turut mengenakan barang kemas tajaan Habib Jewels menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Majlis nikah petang tadi juga dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom membabitkan adik beradik, sanak saudara dan rakan rapat.
Sebaik muat naik perkongsian majlis pernikahan, kedua-dua pasangan selebriti ini mendapat ucapan tahniah dari pengikut masing-masing.
Selamat Pengantin Baru diucapkan untuk Hero Malaya Remy Ishak dan isteri dan juga Elisya Sandha bersama suami atas masjid yang baru dibina. Moga kedua-dua pasangan ini kekal bahagian till jannah.
Credit Photo: @riseandwin.asia (Instagram) – Remy Ishak
Foto Ihsan: @amirnaufalphotography – Elisya Sandha
Artikel Berkaitan:
‘Look So Beautiful….” – Persalinan Serba Putih Serikan Penampilan Neelofa Di Majlis Nikah
Sebagai Lambang Kesucian. Mas Aliza Anggun Gayakan Busana Warna Putih Di Majlis Pernikahan!