Menariknya, ada orang buang sel kulit mati guna berus gigi saja untuk jadikan bibirnya warna pink semula jadi. Ada tak sesiapa yang pernah mengamalkan petua seperti ini?
Biasanya orang guna buah beet, skrub gula, lemon dan madu atau berus gigi untuk gosok bibir.
Contoh yang biasa guna lemon dan madu: Lemon dan madu boleh dianggap sebagai salah satu gabungan rawatan terbaik. Ia boleh membersihkan bibir anda dan juga melembapkan secara mendalam, yang membuatkan ia menjadi bersih, lembut, dan merah jambu.
Namun lain pula yang diamalkan oleh seorang wanita ini. Sebenarnya rahsia penjagaan bibir ini daripada model, Josephine Skriver.
Katanya, teknik memberus bibir bagus untuk membuang sel kulit mati dan meningkatkan aliran darah sekaligus memberi bibir merah secara alami.
Tapi betul ke bagus? Tiada kesan sampingan jika dilakukan setiap hari?
Berus gigi direka untuk gigi dan bulu-bulunya terlalu keras pada kulit bibir yang lembut dan nipis.
Bibir sangat sensitif. Berus tidak cukup lembut untuk menangani kulit halus di kawasan bibir.
Doktor gigi juga mengesyorkan supaya anda elak menggunakan berus gigi untuk membersihkan lidah kerana bakteria dari gigi sudah melekat.
Ini boleh menghapus lapisan dari bibir yang sebenarnya direka untuk melindungi.
Haa… doktor menerangkan idea sepatutnya untuk menggosok bibir bukan dengan berus tetapi dengan jari. Pengelupasan bibir dengan cara yang betul boleh menjadikan bibir yang sihat serta merah idaman.
Mengurut dan membuang sel kulit mati dari bibir setiap hari meningkatkan peredaran darah, ini membolehkan bibir kelihatan lebih sihat, penuh dan tebal.
Ada banyak penyelesaian yang ada untuk menyembuhkan dan melindungi bibir anda.
Cara tradisional adalah untuk minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
Kedua, membawa dan memakai balsem yang mengandungi SPF sepanjang masa. Seterusnya, tambah lebih banyak sayur-sayuran dalam diet anda untuk mendapatkan khasiatnya.
Paling penting sekali, buang tabiat menjilat dan menggigit bibir!
Anda mungkin selalu membasahkannya dengan air liur dengan harapan ia membantu mengatasi masalah kekeringan yang anda hadapi.
Awas, tindakan ini sebaliknya membuatkan ia menjadi lebih kering! Air liur mengandungi asid yang merengsakan. Tambahan pula, menjilatnya secara berterusan boleh menjadikannya lebih kering.
Nanti jangan lupa cuba tip di atas ya!