Bertuahnya anda yang berkulit gelap, masalah jeragat pasti tak akan timbul. Namun masih ramai yang gagal membelai kulit wajah dengan betul membuatkan anda nampak kurang berseri.
Buat anda yang masih mencari tip kecantikan bagi kulit gelap, boleh ambil langkah rutin kecantikan seperti penyanyi Barbados yang juga pengusaha kosmetik, Rihanna.
Bagi mendapatkan kulit wajah yang sihat, bercahaya dan glowing, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Umbrella’ ini mempunyai cara yang khusus untuk merawat wajahnya. Dalam sebuah video yang bertajuk, ‘Go To Bed With Me’ dengan Harper’s Bazaar yang dimuat naik pada 4 Ogos, Rihanna mendedahkan beberapa rutin penjagaan kulit wajahnya.
“Ini adalah rutin penjagaan kulit saya sebelum tidur, tetapi sebenarnya sama dengan rutin penjagaan kulit pada waktu pagi jika saya keluar tanpa sebarang solekan. Ketika melakukan rawatan muka, saya biasanya tidak menggunakan tisu basah atau kapas kerana saya ingin menyelamatkan bumi.”
kata penyanyi yang senang digelar Riri.Jadi, jom kita tengok bagaimana langkah-langkah penjagaan wajah secara sederhana dan tidak memerlukan waktu yang lama ala-ala Rihanna.
Boleh dikatakan sebilangan besar wanita akan mengenakan alat solek setiap hari bagi menjaga penampilan mereka dan Rihanna juga tidak terkecuali bagi menjaga keperluan penampilannya.
Nak mengelakkan kulit wajahnya dari jerawat atau masalah kulit yang lain, Rihanna mengakui dia akan memastikan kulitnya dibersihkan dengan menggunakan pembersih 2 dalam 1 dari jenama Fenty Skin Total Cleanser Remove It All Cleanser.
Daripada menggunakan teknik pembersihan 2 kali ganda dengan pelbagai produk pembersih wajah, Rihanna sangat menyukai produk pembersih ini kerana dapat menghilangkan solekan dan membersihkan wajah sekaligus.
“Saya melakukan ini secara berkala pada waktu pagi dan malam, tidak kira pada hari itu saya memakai alat solek ataupun tidak.”
Setelah membersihkan wajahnya, Rihanna meneruskan langkah penjagaan wajahnya dengan penggunaan toner. Dilaporkan, salah satu produk kegemaran Rihanna adalah Fenty Skin Fat Water Pore-Refining Toner Serum.
Rihanna memilih produk ini kerana ia berbeza dari kebanyakan toner yang lain. Produk ini dikatakan berfungsi 2 dalam 1 iaitu sebagai toner dan juga serum. Oleh sebab itu, teksturnya lebih tebal tetapi masih terasa ringan.
“Toner ini dapat menjadikan kulit wajah lebih lembut, lembap dan dapat mengecilkan pori-pori. Ia juga menjadikan wajah saya kelihatan lebih muda walaupun usia saya sebenarnya sudah 32 tahun.” kata Rihanna sambil ketawa.
Semasa menggunakan toner, Rihanna selalu menuangkan toner ke tapak tangan dan menyapu ke seluruh wajah sambil menepuk dengan lembut. Menurut Rihanna, cara ini secara langsung dapat mengurangkan sisa kapas ketika menggunakan toner.
Walaupun Rihanna memiliki warna kulit yang sedikit gelap, itu tidak bererti Rihanna tidak memerlukan pelindung matahari atau sunblock.
Menurut Rihanna pelindung matahari adalah langkah penjagaan wajah yang paling penting yang dapat melindungi kulit dari kerosakan atau kesan buruk akibat dari sinaran UV. Oleh itu, pelindung matahari atau sunblock dengan SPF yang sesuai sangat diperlukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jenis dan warna kulit.
Untuk sunblock, Rihanna sangat menyukai produk Fenty Skin Hydra Vizor Invisible Moisturizer Broad Spectrum SPF 30 Sunscreen. Menurut Rihanna, selain dapat melindungi kulit dari sinaran UV, produk ini juga dapat memberikan kelembapan pada kulit wajah.
“Sebilangan besar produk pelindung matahari yang dijual di pasaran biasanya meninggalkan kesan putih setelah disapu ke muka, tetapi tidak pada produk ini. Kerana saya ingin semua wanita dengan apa jua warna kulit dapat menggunakan pelindung matahari dan pelembap tanpa meninggalkan kesan putih atau kelabu pada wajah.” katanya.
Jadi buat anda yang berkulit gelap, boleh lah cuba tip cantik ini untuk kekal awet muda dan naikkan seri wajah tanpa menggunakan mekap yang tebal.