Sudah lama tidak kelihatan penyanyi dan pelakon era 90an, Arni Nazira, ini perkembangan terkini kehidupannya bersama anak-anak dan suami tersayang.
Lama Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009, sesekali lalu wajah anak-anak perempuannya yang kini sudah berjaya dalam pendidikan.
Buat anda yang merindui pelantun lagu Cinta Antara Benua, penyanyi ini kini bahagia bersama suami tercinta, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan.
Dalam usia 45 tahun, Arni nampak cantik dengan penampilan bertudung dan abaya, kelihatan manis dengan aura mak-mak.
Saat ditanya apa rahsia ‘awet mudanya’ Arni Nazira tidak lokek untuk berkongsi amalannya selama ini.
“Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda.
“Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.”
Arni turut mendedahkan, dia berdisiplin dalam amalan berpantang ketika bersalin.
“Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat.
“Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.”
Tak lupa, Arni turut berpesan kepada kaum wanita agar sentiasa menjaga kesihatan dan kecantikan luar dalam.
“Kita wanita ni kena sentiasa beringat. Jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit.
“Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.”
Untuk rekod, Arni Nazira Anuar merupakan anak kelahiran Terengganu. Arni mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996.
Setelah bergelar penyanyi, lagu Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kredit Foto: Instagram Arni Nazira