Inspirasi

Uqasha Senrose Jaga Kulit Guna Produk Lokal, Ini Salah Satu Jihad Kecil

Share

Memilih untuk jaga kulit, pelakon Uqasha Senrose sekarang hanya menggunakan produk lokal dan memboikot habis-habisan semua produk atau jenama antarabangsa pro-Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman Zionis dan solidariti buat seluruh rakyat Palestin.

Menerusi portal Kosmo!, isteri kepada Kamal Adli ini berkongsi yang dia tiada masalah meninggalkan produk daripada jenama-jenama terkenal sebagai salah satu bentuk jihad (perjuangan) terhadap Palestin.

Uqasha Senrose Guna Produk Lokal

“Apa sahaja produk yang menyokong kekejaman Israel, saya boikot dan tidak pakai lagi pakai. Sekarang saya hanya pakai produk tempatan.

“Tidak kisahlah produk untuk alat solek, minyak wangi atau produk penjagaan diri, saya tidak hairan lagi dengan jenama,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung dalam Instagram.

Bagi Uqasha atau nama lengkapnya Zik Zaris Uqasha Nik Sen, tindakan yang dilakukan ini  juga sebagai salah satu bentuk perjuangan secara peribadi, memandangkan dirinya bukan seorang yang terlalu lantang bersuara dalam media sosial.

“Sepatutnya saya tidak perlu beritahu apa yang saya lakukan. Anda semua tidak tahu apa yang saya boikot. Itu adalah jihad dan cara saya.

“Mungkin saya tidak terlalu lantang bersuara. Tapi saya lebih kepada tindakan. Apa yang saya boleh buat adalah dengan memboikot apa yang perlu,” jelasnya.

Pernah Dikritik Netizen

Bukan mendabik dada, sebaliknya perkongsian tersebut bagi sebagai satu penjelasan atas segala tuduhan netizen kononnya dia bersikap tidak sensitif terhadap isu semasa yang berlaku di Palestin, terutama sewaktu mempromosikan penganjuran konsert aktor Bollywood terkenal, Hrithik Roshan di Malaysia dalam Instagram miliknya.

“Jadi janganlah cakap saya tidak kisah, tidak sensitif atau tidak kasihan dengan nasib orang di Palestin. Itu tidak benar,” pintanya.

Namun, Uqasha yakin netizen hari ini semakin bijak untuk berfikir dan tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman ke atas orang lain.

Dia juga percaya, tidak semua perkara perlu dikongsikan dalam media sosial bagi menunjukkan solidaritinya terhadap Palestin.

“Ada segelintir netizen cepat sangat menghukum. Saya boleh terima kalau ditegur dengan baik. Tapi masalahnya, orang lebih menunggu untuk kita buat salah. Kalau buat baik, tak ada pula yang berkata. Tapi bila saya buat salah sikit, berduyun-duyun orang kecam,”

ujarnya.

Tampil Mohon Maaf

Baru-baru ini, Uqasha tampil memohon maaf dan mengakui kekhilafannya selepas dituduh tidak sensitif apabila mempromosikan penganjuran konsert Hrithik Roshan di Malaysia dalam Instagramnya.

Menyedari tindakannya tidak disenangi ramai, Uqasha bertindak memadam hantaran tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kredit gambar: Uqasha Senrose

 

Published by
Nadia