Semakin jelita walau umurnya semakin meningkat, Nasha Aziz nampak manis apabila sesekali mengenakan hijab menutup auratnya.
Terbaru pelakon dan model ini memaklumkan bakal mengerjakan ibadah umrah dan akan berada di Tanah Suci selama sebulan, penghujung tahun ini.
Bakal berangkat seorang diri, Nasha menyifatkan termakbulnya hasrat yang sekian lama terpendam sebagai satu hikmah di sebalik pelbagai ujian dihadapi sebelum ini.
“Ini adalah salah satu doa saya yang Allah dengar. Doa ini saya sudah panjatkan sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian tahun lalu.
“Sepatutnya kos menunaikan umrah adalah baki bayaran lakonan drama yang masih belum dijelaskan. Malah, penerbit drama juga berjanji akan bantu urusan tempahan.
“Namun, tunggu punya tunggu sampai setahun, tapi tak ada juga. Atas kuasa Allah, saya tetap diundang untuk menjadi tetamu-Nya.
“Walaupun kos pemergian saya ini bukan daripada baki bayaran yang masih belum dijelaskan, tapi Allah beri rezeki lain yang membolehkan saya menunaikan impian ini.
“Insya-Allah, saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Disember ini selepas penggambaran telefilem yang dijayakan ketika ini selesai.
“Saya akan berada di Tanah Suci selama sebulan dan sudah pun mengambil visa pelancong,” katanya.
Jelasnya, sepanjang bergiat aktif dalam bidang peragaan dan juga menjadi anak wayang, ini adalah kali pertama menggunakan wang daripada hasil titik peluhnya untuk bercuti ke luar negara.
“Sepanjang menjadi model dan anak seni, saya tidak pernah membelanjakan pendapatan yang diperoleh untuk pergi bercuti ke luar negara. Sebaliknya, saya gunakannya untuk tunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, diri sendiri dan apa sahaja yang sepatutnya.
“Saya juga pernah berjanji dengan diri sendiri, jika saya dapat satu tawaran besar, percutian pertama saya untuk terapi diri, saya mahu ke Makkah.
Rezeki berpijak kepada Nasha Aziz kali ini, apa pun didoakan moga segala urusan dipermudahkan dan berjalan lancar sepanjang persiapan ke sana nanti.