Suami Selalu Bersenam Bersama, Itu Cara Fasha Sandha Dapat Berat Ideal

Share

Rupanya suaminya selalu bersenam bersama, patutlah Fasha Sandha dapat berat ideal dengan cepat dan berkesan.

Betul orang kata, kalau kita sedang bahagia dan selalu dapat sokongan suami, semua benda jadi mudah!

Sebab hakikatnya tak mudah nak nekad dan dapat semangat untuk istiqomah jaga makan dan amalkan gaya hidup sihat. Nak-nak pula selepas kahwin dan punya anak-anak.

Suami Selalu Bersenam Bersama, Itu Cara Fasha Sandha Dapat Berat Ideal

Namun tidak bagi pelakon jelita, Fasha Sandha. Fasha sememangnya menjadi inspirasi buat para wanita terutamanya kerana berjaya mendapatkan bentuk tubuh ideal dalam tempoh singkat.

Kata Fasha, dia sangat bersyukur kerana suaminya sentiasa berada di belakang dan memberi sokongan terhadap apa juga keputusan yang diambilnya.

“Saya bersyukur kerana Aidil tidak pernah mempersoalkan atau merungut biar apa pun bentuk tubuh saya. Berisi ke kurus ke, Aidil sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Lebih istimewa, dia yang melatih dan bersama-sama bersenam bersama saya. Dalam masa sama, kami berdua dapat meluangkan masa berkualiti sebagai suami isteri,” katanya.

Tidak lokek untuk berkongsi rahsia bentuk tubuh yang semakin langsing, kata Fasha, dia terpaksa menurunkan berat badan secara maksimum kerana terikat dengan perjanjian (kontrak) untuk sebuah drama yang memerlukan dia kurus mendadak.

Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia berjaya menurunkan 10 kilogram (kg) kerana mengamalkan diet pemakanan yang ketat selain baru saja selesai menjalani ibadah berpuasa.

“Saya terpaksa kurus untuk satu projek drama bulan ini. Syarat dalam drama itu saya kena nampak kurus dan sudah menandatangani kontrak.

“Saya tidak ambil ayam dan daging pada hari Isnin hingga Jumaat. Saya cuma makan ikan saja. Tapi, Sabtu dan Ahad saya akan makan apa saja. Saya masih makan nasi kerana memerlukan tenaga, cuma pengambilan itu dalam kuantiti yang terkawal,” katanya.

Harap Dapat Kekalkan Cara Pemakanan

Fasha juga tidak mahu dilihat seperti orang sakit seperti yang dikatakan segelintir peminatnya dan mengawal bentuk badannya supaya tidak kelihatan terlalu kurus.

“Harap saya boleh kekalkan bentuk badan seperti sekarang. Takut juga lupa diri sebab saya senang naik berat badan sebenarnya,” katanya.

Bercerita mengenai keluarga, Fasha memaklumkan bahawa dia belum bersedia menambah anak kerana komitmen kerjanya bersama Aidil yang sudah terisi hingga tahun depan.

“Saya tahu Aisya mahukan peneman, cuma buat masa ini belum boleh lagi untuk menambah anak. Saya perlu melunaskan kerja dan begitu juga dengan Aidil.

“Nanti jika bercakap ada yang menganggap saya bermegah, cuma apa yang boleh saya katakan jadual kerja sudah terisi sehingga tahun depan. Insya-Allah sekiranya sudah selesai tanggungjawab, baru saya boleh memikirkan untuk menambah cahaya mata,” katanya.

 

 

Published by
Nadia