Lepas 2 Tahun Buat Pembedahan Pintasan Usus, Aishah Berjaya Lenyapkan 33Kg. Kini Boleh Kawal Nafsu Makan!

Share

Siapa tidak menyanyi penyanyi bersuara lantang dan merdu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin.

Pernah mengalami pertambahan berat badan mendadak, tetapi kemudiannya kembali langsing setelah lakukan prosedur bariatrik.

Menurutnya dia menjalani prosedur ini sebaik pulang dari bercuti ke Eropah Timur sekitar dua tahun lalu.

Ketika itu, beliau terpaksa menanggung kesakitan melampau dan hilang keseimbangan pergerakan kerana terlalu banyak berjalan ke sana dan ke mari.

“Situasi itu berpunca apabila sendi bahagian lutut terjejas akibat tidak mampu menampung berat badan saya yang berlebihan,“ katanya.

Justeru, enggan membiarkan kesakitan lutut kronik berpanjangan, beliau terlebih dulu menjalani pembuangan xantelasma pada bahagian mata sebanyak tiga kali.

Xantelasma adalah merujuk pada enapan kolesterol atau plak pengumpulan deposit lipid berwarna kuning-kekuningan yang kerap berlaku atas kelopak mata.

“Sampai satu peringkat doktor yang merawat tidak mahu lagi melakukan prosedur xantelasma selagi berat badan tidak diturunkan. Ini disebabkan jika kegemukan tidak diatasi dengan segera, kadar kolesterol akan statik dan lebih memudaratkan ia meningkat dari masa ke masa,“ tutur Aishah yang akhirnya memutuskan untuk menjalani prosedur bariatrik, dua tahun lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata berkenaan melakukan pembedahan pintasan usus yang berlangsung selama hampir dua jam.

Berkat kesungguhan dan disiplin mengikut pelan diet pascapembedahan yang disusun pakar pemakanan, Aishah kehilangan 7.7 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Kini dua tahun, saya telah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33kg dan berbaki 10kg sahaja lagi untuk mencapai misi.

“Alhamdullilah, selain gastrik, masalah kolesterol, obesiti dan sakit sendi lutut kronik beransur pulih. Saya tidak pernah menyesal, malah rasa berbaloi menjalani prosedur ini (bariatrik),“ ujarnya teruja.

Sementara itu, ditebak soalan adakah beliau sengaja memilih prosedur bariatrik untuk tampak cantik dalam tempoh singkat? Pelantun lagu Camar Yang Pulang itu lantas berkata:

“Matlamat utama prosedur bariatrik adalah untuk membantu golongan mobid obesiti yang mengalami penyakit kronik menurunkan berat badan. Jika hasilnya, membuatkan calon kelihatan menawan dan bertubuh langsing, maka itu bonus buat kami.“

Aishah berkata, kini beliau perlu belajar mengawal nafsu makan. Jika sebelum ini, beliau kerap menikmati dua pinggan nasi, tetapi kini menyuap dua sudu makanan ruji terbabit sudah membuatnya kenyang.

“Ya, diakui dua minggu awal, saya amalkan diet cecair diikuti puri dan bubur, seterusnya makanan pejal. Selepas dua bulan, pengurangan berat badan akan mendatar. Justeru, di peringkat inilah individu perlu komited susun corak pemakanan ideal,“ ujarnya.

Kepada mereka yang ingin melakukan pembedahan bariatrik, Aishah menitipkan pesanan:

“Ubah persepsi prosedur ini semata-mata nak tampil cantik dalam tempoh singkat. Jangan terburu-buru melakukannya (pembedahan) dan jangan cepat terpengaruh dengan testimoni individu lain semata-mata,” tambahnya.

Sumber: Sinar Plus

Kredit Foto: Instagram Aishah

Artikel Berkaitan:

Patutlah Parut Jerawat Susah Nak Hilang, Rupanya Sering Abai 4 Perkara Ini Dalam Penjagaan Wajah!

Kena Ambil Tahu, Rupanya 6 Makanan Ini Selalu Jadi Sebab Keracunan Makanan

Published by
Siti Zurina Mat Saman