Digelar Wanita Sado, Nana Al Haleq Pentingkan Kesihatan Diri Luar & Dalam. Nak Bantu Ramai Wanita Jadi Lebih Sihat!

Share

Tular di media sosial kerana memiliki tubuh ‘sado’ Nana Al Haleq jurulatih dan penasihat kecergasan mengakui mempunyai bentuk badan berotot ibarat ‘kerja seni’ dan merupakan salah satu amalan kehidupan yang sihat.

“Pada saya, maksud ‘sado‘ itu sangat umum. Sama macam maksud kecantikan. Kalau lihat tubuh badan saya, ia sebenarnya tidaklah ‘sado‘ mana pun. Sebaliknya, lebih kepada bentuk badan atlet.

“Sejujurnya saya tidak kisah walaupun sesetengah orang memanggil saya ‘sado‘, Mungkin bagi mereka nampak pelik kerana sebelum ini tidak ramai wanita berotot sepertimana sekarang,“ ujarnya dengan nada bersungguh.

“Bagi saya, terpulang kepada masing-masing bagaimana menonjolkan imej diri. Saya sendiri berusaha gigih untuk mendapat hasil seperti yang kalian lihat sekarang. Kalau diikutkan dulu, saya sangat kurus. Berat saya sebelum ini sekitar 47 hingga 49 kilogram dan tiada potongan badan pun.

“Pun demikian, alhamdulillah dengan pengambilan makanan yang sesuai di samping latihan yang konsisten, akhirnya saya dapat mencapai apa yang dihajati,“ katanya sambil menyifatkan pemakanan memicu kepada kesegaran kulit dan melambatkan penuaan.

Minat Sukan Sejak Usia Lapan Tahun

Berusia 36 tahun, wanita ini mula berjinak dengan sukan sejak usia lapan tahun lagi. Turut menjadi penyedia kandungan digital, Nana juga aktif dalam bidang pengacaraan.

“Saya memang sejak kecil lagi sangat aktif terutamanya dalam sukan olahraga. Saya pernah mewakili sekolah (untuk daerah Gombak dan negeri Selangor). Pada umur 16 tahun, saya mengambil keputusan untuk bersara dan memberi tumpuan pada pelajaran.

“Seawal usia 20 hingga 26 tahun, saya menjinakkan diri pula dengan aktiviti luar seperti mendaki dan rock climbing, sebelum serius dengan Strength Training. Di sinilah, terbitnya minat untuk mendalami ilmu kecergasan dan pemakanan. Terus terang saya katakan, saya buat semua ini sebab passion (keghairahan),“ kongsinya yang juga aktif sebagai jurucakap kecergasan.

Jika menjenguk di Instagramnya @nanaalhaleq, Nana banyak berkongsi gambar dan lambakan video aktiviti di gimnasium.

“Pada masa tertentu, saya menerima tawaran memberikan ceramah tentang kesihatan dan kecergasan oleh agensi korporat. Saya juga berhasrat untuk menambah ilmu dalam bidang pemakanan holistik, selain mahu mencuba nasib dalam bidang perniagaan,“ katanya seperti menyusun perancangan masa depan.

Nak Fit Tak Perlu Sentiasa ke Gim

Bagi wanita ini untuk mengekalkan kesihatan dan sentiasa fit bukanlah bermakna seseorang itu harus ke gimnasium sentiasa. Sebaliknya, ia  boleh dilakukan di rumah, mahupun di tempat kerja.

“Jika terdapat kekangan masa, saya nasihatkan untuk memilih aktiviti yang mudah dilakukan atau diselitkan dalam jadual harian. Contohnya, kalau kita di tempat kerja, apa kata luangkan waktu dengan melakukan senaman regangan untuk membantu melancarkan aliran darah dan juga menguatkan otot-otot yang tegang akibat duduk terlalu lama.

“Boleh juga selitkan senaman yang mudah seperti naik dan turun tangga. Di rumah pula, sebaik bangun tidur, terapkan senaman yoga ringkas atau senaman regangkan tubuh badan sebelum mandi,“ katanya.

Menurut Nana, jika mempunyai sedikit bajet, seseorang sangat dialu-alukan untuk membeli peralatan mudah dan ringkas seperti basikal atau mini stepper.

Apabila dua peralatan itu tersedia, tidak kira sama ada menonton televisyen atau sebagainya, latihan gerak badan boleh dilakukan.

“Tak perlu mengambil masa yang lama pun, lebih kurang 10 hingga 30 minit sudah memadai,“ jelas Nana yang turut mengesyorkan tarian zumba, menari atau bermain badminton bersama anak-anak atau ahli keluarga lain jika kecondongan itu ada.

Nana juga mengakui soal kesihatan adalah sangat subjektif pada perspektifnya.

“Biasa orang ingat bab kesihatan ini hanyalah tentang demam, selesema, batuk dan sebagainya, padahal ia bersifat menyeluruh. Ingat, badan kita sentiasa berubah seiring dengan peningkatan usia. Itu pentingnya melakukan saringan kesihatan setiap tahun, walaupun sihat kena buat pemeriksaan.

“Jujurnya saya seorang yang menjaga kesihatan, tahap kolestrol saya tinggi selepas pemeriksaan dilakukan baru-baru ini. Walaupun tidak teruk, tetapi saya tertanya-tanya apa puncanya,“ katanya.

Justeru, Nana kerap kali menekankan tentang perihal pentingnya berjumpa doktor, meskipun badan rasa sihat dan tidak wujud sebarang masalah.

“Sebenarnya itu luaran, dalaman kita tidak tahu. Saya percaya apa yang kita makan boleh menyembuh dan mengelakkan penyakit. Jangan fokus untuk kurus semata-mata. Itu pemikiran 20 tahun dahulu. Ambillah pemakanan yang berkhasiat dan bernutiri, kurangkan gula dan garam selain makanan segera,“ katanya.

Seperti orang lain, kehidupan Nana berwarna-warni. Titik fokusnya bukanlah semata-mata tentang hal kecergasan.

Sumber: SinarPlus

Published by
SAHR