Penyanyi dan pelakon cantik, Lufya Omar memberitahu bahawa berat badannya pernah mencecah sehingga 85 kilogram.
Akibat mengalami berat badan berlebihan ini menyebabkan dia mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik atau potong usus.
Menurut Lufya, 36, dia nekad melakukan pembedahan pada November lalu selepas sudah berusaha melakukan pelbagai cara termasuk diet dan bersenam.
Katanya, dia tidak sedar tubuh badannya makin membesar sehinggalah ditegur anak tunggalnya, Laana Haura yang berusia lima tahun.
“Saya memang dari kecil ada masalah asma. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya mula dapati badan mula sakit-sakit dan penyakit asma itu semakin ketara. Jalan sedikit pun jadi mengah, jadi saya pelik.
“Mulanya saya tak perasan perubahan badan yang kian berisi sehinggalah, anak perempuan yang berusia lima tahun menegur. Katanya, ‘kalau mummy kurus, mesti jadi macam patung Barbie.
“Rasa khuatir jugalah, adakah saya dah gemuk sangat? Malah 85 kg rasanya tidaklah terlalu berat, tetapi badan mula rasa sakit-sakit. Saya buat pembedahan ini pun dengan nasihat doktor, dan lama juga ambil masa untuk berfikir.
“Selepas sebulan, pembedahan ini berjaya menurunkan sebelas kg. Daripada 85 kg, kini, berat saya 74 kg.
“Dahulu, diet dan bersenam selama enam bulan hanya turun 2 kg sahaja. Kini, saya mahu turun berat badan 10 kg untuk capai berat badan seimbang,” ujarnya yang menolak ketika ditanya faktor mahu kurus adalah kerana mahu berkahwin lagi, sebaliknya hanya untuk kesihatan.
Buat masa ini menurut Lufya, keutamaan adalah untuk membesarkan anaknya Haura dan kembali aktif dalam dunia seni.
“Tak adalah, saya memang buat untuk kesihatan. Bukan sebab nak kahwin atau apa. Nak rasa lebih positif sebab tak ada perempuan yang suka bila dirinya terasa murung apabila mengenangkan sesuatu yang tidak menggembirakan dirinya.
“Prosedur yang dilakukan ini juga adalah untuk mendapatkan semula stamina dan kesihatan membimbangkan seiring pertambahan usia,” kata Lufya lagi, apabila dirinya kembali sihat dan dapat menurunkan berat badan melalui cara pembedahan (bariatrik ini), dia menjadi lebih positif.
Lebih utama pembedahan dilakukan ini berjaya mengawal tahap kolesterol dan penyakit asma yang dihidapinya.
“Soal jodoh, kalau dulu saya mungkin sekat, tapi sekarang diri lebih terbuka. Kalau Allah SWT bagi saya jodoh, InsyaAllah saya terima. Cuma ia tidaklah jadi keutamaan sekarang.
“Anak tetap jadi keutamaan saya. Lagi satu, Insya-Allah, kalau tiada aral dan atas izinNya, saya nak buat kemunculan semula dalam industri.
“Masih ada yang belum tercapai dalam bidang ini dan saya nak teruskan hasrat itu,” tambahnya yang turut meminta pandangan ulamak untuk kepastian sebelum melakukan proses bariatrik ini.
Pembedahan tersebut dibenarkan dalam Islam asalkan niat untuk menjaga kepentingan kesihatan.
Artikel Berkaitan:
Tak Selesa Dengan Masalah Bau Badan. Gadis Kongsi Produk Sesuai Atasinya, Cari Je Di Drugstore!
Rajin DIY Masker Guna Putih Telur, Cara Laila Nasir Jaga Kecantikan. Walau Usia Cecah 50an!