Mempunyai berat badan berlebihan sehingga mencecah lebih 90 KG menyebabkan dirinya cepat mengah dan sukar untuk melakukan urusan ibadah.
Dia mengakui proses mengandung untuk mendapatkan anak selepas 9 tahun berkahwin menyebabkan dia kemudiannya mengalami masalah berat badan mendadak.
Bukan itu sahaja pelbagai lagi penyakit lain datang menyerang seperti kencing manis dan darah tinggi serta menanggung sakit belakang yang keterlaluan.
Tidak mahu berterusan menanggung sakit begitu, akhirnya wanita ini Fauziah Ahmad, 43 tahun, mengambil keputusan untuk melakukan prosedur pembedahan bariatrik pada tahun 2018 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sebelum ini saya memang mengalami masalah gerd akibat pertambahan berat badan yang berlebihan. Apabila bertemu doktor, dia menyarankan untuk saya melakukan prosedur ini.
“Tujuannya bukan untuk cantik dan kurus semata-mata, tetapi lebih kepada mahu mengubah gaya hidup sihat.
Artikel Lain: Cantik Tanpa Parut, Guna Bahan Semulajadi Hilangkan Kesan Tanpa Produk, Lambat Tapi Selamat!
“Alhamdulillah sepanjang proses melakukan kaedah ini tidak mengalami sebarang risiko membahayakan. Cuma ada alami masalah darah beku di kaki, sedikit pendarahan dan ada bahagian stapler yang terbuka.
“Tetapi risikonya sangat rendah dan semua ini doktor yang beritahu selepas pembedahan. Alhamdulillah saya tidak alami kesan teruk selepas lakukan pembedahan berkenaan. Inilah yang doktor akan beritahu kepada semua pesakit yang melakukan prosedur bariatrik ini,” ujarnya yang berjaya mengurangkan berat sebelum iaitu 98Kg kepada 70KG.
Menurutnya lagi, kos bagi prosedur yang dilakukan lebih RM30 ribu tetapi berbaloi kerana tidak lagi mengalami masalah kesihatan dan berpeluang untuk mengamalkan gaya hidup sihat selepas itu.
Tambah Fauziah, doktor hanya membuang 75 peratus kantung perut dan proses dilakukan tidak mengambil masa lama.
Dia juga sangat gembira dengan perubahan yang berlaku selepas pembedahan kerana mengakui tidak lagi mengalami masalah kencing manis, darah tinggi dan sakit belakang juga turut hilang.
“Namun begitu, untuk kekal dengan berat yang ada kita juga perlu menjaga diet dengan setiasa mengamalkan pengambilan diet seimbang.
“Jika sebelum ini tidak suka bersenam, tetapi lepas mendapat berat ideal, saya rajin mengamalkan senaman ringan untuk membantu badan jadi lebih fit dan bertenaga.
Artikel Lain: Lenyap 25KG Lepas 3 Bulan Buat Kaedah Bariatrik. Lelaki Gembira Masalah Dengkur & Micro Sleep Hilang!
“Bagi mereka yang ada masalah berat badan berlebihan, boleh cuba kaedah ini untuk menyelesaikan masalah kesihatan yang akan menganggu kehidupan kita sebelum itu.
“Tetapi perlu ingat bariatrik bukan jalan pintas untuk kurus. Untuk kekalkan apa yang kita sudah buat, usaha perlu ada juga contoh dengan menukar cara hidup dan pemakanan.
“Selain itu, senaman juga perlu dilakukan untuk kekal sihat dan terus fit. Buatlah senaman yang kita mampu buat asalkan boleh keluarkan peluh dan tidak membahayakan diri.
“Paling penting kena juga jaga pemakanan dengan diet lebih seimbang,” tambahnya yang menolak tanggapan orang bahawa prosedur bariatrik dilakukan bukanlah kurus sebab potong perut tetapi lebih kepada mengamalkan gaya hidup sihat.
Artikel Lain: Lepas 18 Hari, 2 Kali Kritikal Akibat Diserang Sawan. Ainul Mardhiah Mula Tunjuk Tanda Positif!