Inspirasi

Fida Ibrahim Istiqamah Dalam Berhijrah, Bersangka Baik Jika Hilang Tawaran Kerja

Share

Manis dan mirip kepada penyanyi nombor satu Malaysia, Fida Ibrahim mengakui banyak cabaran yang perlu dilalui seseorang untuk kekal istiqamah dalam berhijrah.

Malah, bekas juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 ini tidak pernah sekali pun menyesal dengan penghijrahannya.

Fida Ibrahim Istiqamah Dengan Penampilan

Kongsi Fida atau nama lengkapnya, Rafidah Ibrahim, golongan artis atau orang biasa juga tidak lari dari membuat kesilapan namun tetaplah saling menasihati.

“Apabila sesuatu keadaan itu boleh menggugat Iman atau penghijrahan kita, saya fikir paling

penting ialah memilih ‘circle’ atau kawan-kawan yang boleh membantu pada niat asal kita.

“Saya percaya bahawa iman tak boleh diwarisi mahupun ‘copy and paste’. Setiap anak Adam itu pasti tidak lari dari melakukan kesilapan.

“Sama ada kalangan artis atau tidak, jika ada kalangan kawan-kawan kita yang sedang diuji, nasihat dan berikan galakkan padanya.

“Tapi kalau tak mampu, kita juga boleh mendoakan dia dari jauh. Tugas dakwah bukan hanya terletak pada ustaz atau ulama. Tetapi itu adalah tanggungjawab setiap Muslim.

“Dalam berdakwah perumpamaannya macam ini, ‘kita bukannya nak hapuskan pesakit, tetapi kita nak merawat penyakit,” katanya.

Bersangka Baik Dengan Allah

Sepupu kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini juga berpendapat, perlunya bersangka baik dengan Allah sekiranya seseorang selebriti itu hilang tawaran dek kerana penghijrahan yang dibuat.

“Bila berkaitan sesuatu perkara yang diwajibkan dalam Islam ini, pada peringkat permulaan memang saya faham, kita seolah-olah perlu memaksa diri sehinggalah datangnya keikhlasan itu. Artis lebih dilihat orang sebab mereka selalu di depan kamera.

“Bagi saya, semua orang dalam industri memainkan peranan masing-masing kerana setiap daripada kita faham agama dan syariat termasuklah penerbit, pengarah, stesen tv, radio, media dan lain-lain. Paling penting kita kena sentiasa ingat bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah.

 

“Kalau kita rasa dengan hijrah kita kehilangan atau kurang tawaran, sentiasa bersangka baik pada ketentuan yang Allah tetapkan. Yakinlah pasti ada lebih baik dari itu sebab dalam hidup ini tak semestinya yang kita rasa tak baik tu, tak baik untuk kita mahu pun sebaliknya,”

katanya.

Begitulah ujian buat sesiapa sahaja yang baru behijrah, kadang hati berbolak-balik dek kerana pandangan selalu melihat orang sekeliling. Namun jika kuat iman dan mampu tepis godaan, insha Allah, semua orang akan tetapkan hati untuk istiqamah.

Sumber: Utusan

Gambar: Fida Ibraham

Published by
Nadia