Salah seorang artis wanita yang menjadi inspirasi, Diana Amir tampil berniqab dan mahu tinggalkan dunia seni untuk mendapatkan keredaan Allah.
Mengambil keputusan berhijab membuatkan Diana memahami bahawa kematian sangat hampir dengan dirinya, apatah lagi mengenakan niqab adalah satu perkara yang tidak terlintas di kotak fikiran selama ini.
Menurut Diana, dia tidak berniat untuk membuat penampilan di kaca TV, malah nekad ucapkan selamat tinggal dunia seni. Jelasnya dia mahu lebih fokus dengan dirinya sahaja.
“Saya nak berhenti daripada muncul di khalayak ramai. Saya nak fokus pada diri saya, nak fokus pada betul-betul ikhlaskan diri saya mencari agama kerana Allah.
“Saya rasa ini satu fasa untuk saya, untuk diri saya nak dekatkan diri pada Allah SWT. Jadi saya cuma mengharapkan semua orang doakanlah. Maksudnya, saya mahu berada dalam kalangan muslimat sahaja.
“Bagaimanapun yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan yang paling penting sekali hati saya melakukan apa-apa sahaja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahi ta’ala dan semoga mendapat rahmat Allah,” ujar Diana.
Mati itu pasti, saat itu yang menjadi rahsia agar kita sentiasa bersedia menghadap Ilahi. Menginsafi bahawa masa muda akan meninggalkan kita, selebriti ini akui kita juga akan dijemput bila-bila masa sahaja.
“Agaknya sebelum ini saya fikir hidup lama lagi. Saya fikir kematian itu lama lagi. Saya muda lagi. Yang penting saya buat baik. Namun sebenarnya mati itu yang paling dekat dengan kita.
“Bila saya faham hakikat yang kita ini akan mati juga satu hari nanti dan betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita semua, sebab itulah hati saya yang rasa amat memberontak dahulu boleh berubah sekelip mata.
“Saya terus rasa nak pakai tudung, tak nak buka lagi. Saya terus nak baiki diri,” tegasnya.
Ditanya mengenai perjalanan untuk istiqamah, Diana menjelaskan bahawa kita haruslah mencari hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan agar segalanya terasa dipermudahkan olehNya.
“Perjalanan untuk istiqamah itu saya rasa paling penting untuk semua orang adalah dia. Kalau niat dia kerana Allah, insyaAllah pastinya kita berjalan kepada Allah, Allah akan ‘berlari’ nak membantu kita. Nak dekatkan diri kita kepada Allah SWT.
“Jadi, saya rasa kita sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan ini haruslah bersangka baik dengan Allah. Jadi apa saja yang kita buat, kita kena cari apa kebaikan di sebaliknya.
“Kalau kita dapat yang buruk-buruk, kita akan rasa susah. Kita akan rasa banyak cabarannya. Tapi kalau kita nak istiqamah, cari apa hikmahnya yang kita akan dapat. Itu akan mudahkannya. InsyaAllah,” kata Diana.
Sumber: Diana Amir