Sedikit cuma pandangan Neelofa tentang penghijrahan dalam penampilan, namun ramai teruja dan setuju dengan kata-kata pengacara dan usahawan popular itu.
Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, berkata, kunci kepada pintu mencari jalan Allah adalah ilmu, selain memperkasakan diri untuk terus melakukan kebaikan.
“Hidayah itu datang kepada semua orang, tinggal lagi kita sendiri mahu rebut atau tidak sahaja.
“Istiqamah itu berat, ringan itu istirehat tetapi paksalah diri untuk terus berbuat baik.
“Carilah ilmu kerana ilmu itulah kunci kepada Hidayah,” ujarnya ketika menjadi hos jemputan program MeleTOP Moreh bersama Nabil.
Menariknya, kemunculan isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu menemani Nabil meraih pelbagai respons positif netizen.
Kalau dilihat menerusi ruangan komen, rata-rata netizen kagum terhadap perkongsian ilmiah Neelofa selain meminta ibu kepada dua anak itu kembali menjadi hos tetap program tersebut.
“Ya Allah kagum betul dengan tutur kata Neelofa sekarang, sesuai jemput dia untuk bulan Ramadan ini, banyak perkongsian,” komen seorang netizen.
“Mohon Neelofa kembali mengendalikan Meletop bersama Nabil, kimia dan keserasian kalian memang tidak perlu dibuat-buat, memang menjadi,”
demikian komen seorang netizen lagi.Sekadar info, Neelofa pernah mengejutkan khalayak apabila mengumumkan pengundurannya sebagai hos selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu.
Neelofa mula mengendalikan MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara juga pelawak popular, Nabil Ahmad.