Pelakon wanita, Ummi Nazeera mendedahkan badannya pernah diejek kerana fizikalnya agak besar ketika di bangku sekolah.
Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkata, memiliki tubuh badan yang agak berisi dan tinggi telah menyebabkan dia diejek seperti itu.
“Dulu semasa saya kecil dalam umur 11 tahun, badan saya berisi sebab saya tinggi. Memang ada orang body shame saya ketika itu dengan memanggil saya godzilla.
“Sebenarnya badan saya tidaklah begitu besar cuma saya tinggi.
“Sudah semestinya saya rasa sangat triggered. Yang cakap itu pula budak lelaki. Macamlah saya gemuk sangat,” ceritanya.
Justeru itu, aktres berusia 33 tahun tersebut sama sekali tidak bersetuju fizikal seseorang dijadikan sebagai bahan ejekan.
“Saya sangat tidak setuju dengan body shaming terutamanya apabila berlaku di sekolah.
“Tetapi hal tersebut telah membentuk saya. Ia berlaku ketika usia saya 11 tahun, pada umur 12 tahun saya terus kurus,” kongsinya lagi.
Walau bagaimanapun, Ummi memilih untuk tidak memberi respons terhadap individu berkenaan malah menjadikan kritikan itu sebagai pembakar semangat.
“Saya tak beri sebarang reaksi terhadap individu tersebut, tetapi saya buat perubahan dan buktikan terhadap diri saya sendiri.
“Saya ambil perkara yang tidak elok itu kemudian cuba buat yang terbaik untuk diri saya,”
katanya.Ummi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Andai Tiada Dia yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ibu kepada dua orang anak tersebut mengakui perkara berkenaan telah memberi kesan terhadap keyakinan dirinya.
Bagaimanapun, Ummi tetap kuat untuk menghadapinya kerana mempunyai seorang abang yang bertindak menjadi pelindung diri.
“Ini mengganggu keyakinan diri saya terutama apabila berlaku pada usia muda.
“Tetapi disebabkan saya ada seorang abang yang berada di sekolah yang sama dan lindungi saya, jadi perkara itu tidaklah begitu mengganggu saya sehingga tidak mahu ke sekolah,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa itu berkata, dia kini tidak lagi menerima sebarang kritikan malah gembira dengan tubuh badannya sekarang.
Masih dalam BMI normal dan saya gembira dengan tubuh badan saya sekarang.
Sekarang saya tak pernah terima sebarang body shaming malah ada yang minta saya kongsikan tips bagaimana untuk menurunkan berat badan.
Dalam perkembangan lain, Ummi tampil dengan drama terbaharu berjudul Andai Tiada Dia yang bakal bersiaran di Astro Ria bermula 21 Oktober ini.
Sumber gambar: Ummi Nazeera